Wednesday, January 5, 2011

Kekalkan institusi simbol kedaulatan agama, bangsa.

oleh: Dr. Saodah Abd Rahman

Islam tidak menghapuskan sistem beraja tetapi mengintegrasikannya kepada satu sistem yang lebih komprehensif dan praktikal. Unsur-unsur khurafat yang diamalkan oleh golongan-golongan bangsawan sebelum kehadiran Islam telah dihapuskan.

Sejarah menunjukkan bahawan kekuatan Islam di rantau Asia Tenggara terutamanya di Melaka semasa abad ke-15 adalah berasaskan kepada kegigihan raja-raja Melayu Islam mengintegrasikan sistem kehidupan Islam secara menyeluruh. Daripada sudut geografi, Kesultanan Melayu Melaka wujud lebih kurang 1400-1511 Masihi. Tanah Melayu terutamanya pada awal abad ke-15 terkenal dengan Tamadun Melayu Islam yang gemilang.

Berdasarkan kepada fakta sejarah maka sulatan atau raja Melayu merupakan simbol kepada agama Islam kerana penglibatan mereka secara aktif dalam hal ehwal agama. Kewibawaan dan kekuatan sistem beraja adalah berdasarkan kepada tugas dan peranan mereka dalam menaikkan imej atau kewibawaan Islam.

Sejarah menunjukkan bahawa hubungan sultan dan alim ulama adalah terlalu akrab kerana alim ulama merupakan penasihat kepada raja dalam hal ehwal perundangan Islam. Hubungan yang rapat di antara ulama dan raja menyebabkan rakyat beranggapan bahawa raja adalah pelindung rakyat dan agama. Oleh itu, orang melayu amat menghormati raja kerana keperibadian dan tingkah laku mereka menepati ciri-ciri kepimpinan Islam.

Apabila Tanah Melayu dijajah oleh kuasa Barat, raja atau sultan masih diberi mandat untuk mempertahankan adat istiadat Melayu dan agama. Ketika itu, bidang kuasa sultan adalah terlalu terbatas kerana penjajah hanya memberi mandat kepada sultan mengendalikan urusan adat istiadat Melayu dan agama Islam berkaitan dengan perundangan peribadi seperti perkahwinan, zakat dan seumpamanya.

Setelah merdeka, umat Islam secara beransur-ansur memperkenalkan kembali sistem perundangan Islam dengan lebih sistematik. Sultan diberi kuasa untuk mengesahkan setiap perundangan berkaitan dengan Mahkamah Syariah dan bidang-bidang tertentu yang diperuntukan oleh negara.

Hak-hak yang diberikan kepada sultan dalam hal ehwal keagamaan dan kewibawaan Islam sepatutnya dihormati kerana dalam realiti kehidupan dalam era globalisasi, kedudukan agama adalah terlalu rapuh kerana salah satu daripada ciri globalisasi ialah penghapusan tradisi masyarakat beragama. Oleh itu, amat penting institusi agama diperkukuhkan di bawah naungan sultan atau raja.

Para ulama dan masyarakat Islam sepatutnya mempertahankan kedudukan raja dan sultan demi memperkukuhkan institusi agama yang sering dicabar oleh pelbagai cabaran dari dalam dan luar. Sultan dan raja Melayu sepatutnya bermuhasabah diri dan melihat sejauh manakah mereka telah mengintegrasikan corak kehidupan berasaskan ajaran Islam demi menyakinkan masyarakat Islam bahawa institusi raja dapat menjamin kewibawaan dan kekuatan Islam.

Dalam era globalisasi juga, manusia lebih menumpukan perhatian kepada perkara-perkara berbentuk material daripada spiritual. Mereka kurang peka terhadap institusi agama dan raja. Konsep kehidupan yang berunsurkan hak dan kebebasan individu menjadi prinsip hidup masyarakat kini.

Oleh itu, mereka gemar menentang sesuatu yang berbentuk institusi sama ada agama atau raja. Perkara begini semakin hari kian mempengaruhi jiwa masyarakat Islam sehingga mereka sanggup menunjukkan sikap negatif terhadap Perlembagaan yang mempertahankan institusi-institusi yang dianggap tidak penting dalam kehidupan mereka, sedangkan institusi tersebut merupakan satu kekuatan umat Islam untuk mempertahankan kewibawaan Islam dalam era globalisasi.

Umat Islam perlu diberi kefahaman yang jelas mengenai Perlembagaan negara dalam mempertahankan kedudukan Islam. Kejahilan terhadap fakta sejarah dan Perlembagaan negara boleh menyebabkan umat Islam semakin hari kian hilang hak dan kewibawaan.

Hubungan para ulama dan raja sepatutnya diperkukukan bagi memudahkan umat Islam melaksanakan peundangan Islam dan meyelesaikan permasalahan berkaitan dengan Mahkamah Syariah.

Ulama dan raja sepatutnya mempunyai fikrah yang sama dalam menyelesaikan setiap aspek berkaitan dengan urusan Islam supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan dan kurang keyakinan masyarakat Islam terhadap institusi agama dan raja.

Oleh itu, perkukuhkan hak institusi raja supaya agama Islam kekal menjadi agama rasmi negara dan perundangan Islam yang lebih komprehensif dan universal dapat dilaksanakan dalam negara yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama.


sumber: utusan online 30 april 2010

artlife: artikel ini sesuai dgn jiwa saya sekarang..ia menceritakan tentang perasaan saya ketika ini...sewaktu saya extract copy artikel ini, saya baru selesai bertegang urat dengan seseorang berkenaan hal ehwal politik. entah apa yang dia nak menangkan sangat kepimpinan kerajaan sabuah negeri ini sehingga mengutuk2 kerajaan pusat!! di pihak mereka yang terlalu taksub dengan ke "partian" nie sampai tahap memberi komen atau tuduhan berdasarkan persepsi bebas sendiri2 tanpa fakta atau sumber yang tepat! dan apabila ada pihak sudah mula hilang hormat terhadap agama, apa nak jadi???? ...yang jahat dikata benar/adil/baik, begitu la sebaliknya... blum sentuh mereka kalangan kafir yg tak hormat agama....
hal ini juga terjadi akibat kecerdikan generasi masa kini yang tiada berbedung dan bertebing2 lagi...memutar belitkan satu2 fakta hanya kerana ghairah merebut kuasa! ingatlah, musuh2 berkiblatkan kuasa ini hanya memandang tiga "ta" sahaja - Takhta, Harta dan Wanita. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment